Saturday, December 19, 2009

~sejenak pada teguran


Sebaik sahaja azan Zuhor tamat pada pendengaran saya, kaki cepat melangkah menuju ke tandas guru. Sekadar melihat-lihat wajah di cermin sebentar sebelum bersedia memasuki kelas seterusnya, wajah saya ditilik sejenak tanpa sedar. Seorang budak lelaki sangat comel pada penglihatan saya, tersenyum mesra. Saya kira umurnya dalam lingkungan tujuh tahun dengan masih beruniform sekolah rendah. Anak siapakah ini? Pastinya anak-anak guru-guru di sini.

“Hai”, saya cuba menyapa. Mesra. Mengiringi sengihan ikhlas adik tersebut. “Hai Teacher. Teacher buat apa?” Pertanyaan berbalas. “ Teacher dok tengok-tengok cermin ni sekejap. Awak buat apa?”. Pelik kerana wajah saya masih lagi ditilik-tilik dari sebalik pantulan cermin. “Saya nak ambil wudhuk”, dia menjawab sambil melangkah ke sinki sebelah.

“Teacher kenapa tak ambil wudhuk.. Bukan ke dah masuk Zuhor ni?”. Kami berpandangan sejenak. Saya dan dia akhirnya berbalas senyuman.

Moralnya:

Walau dalam apa keadaan sekalipun, solat itu tetap tiang agama. Andai runtuhnya tiang seri itu, maka tiadalah sempurna rumah kehidupan yang kita bina.

Alangkah bahagia punya anak kecil yang begitu soleh hasil didikan hebat ibu bapa yang soleh solehah. Bak kata seorang imam masjid setempat, inginkan anak-anak yang punya jiwa bersih suci tatkala dilahirkan, maka azan dan iqamatkanlah ia. Anak ibarat kain putih yang suci bersih tatkala keluar dari perut ibu. Yang ada ketika itu hanyalah pujukan syaitan di kiri dan lambaian malaikat di kanan. Azan dan iqamat tanda seruan agar sinar Islam itu menusuk jatuh ke qalbu. .Bagaimana harus diletakkan kesempurnaan pada azan dan iqamat itu, jikalau bapa masih lagi dengan status merempit, tidak punya kefahaman tanggungjawab sebagai suami dan ayah kepada zuriat isteri. Justeru amat penting memilih calon-calon yang sempurna sebagai bakal imam hati.

Jikalau anak yang sekecil itu mampu mentarbiah jiwanya ke arah sifat-sifat sebagai hamba Allah,..Bagaimanakah pula tugas kita orang-orang dewasa dalam menyempurnakan hari-hari terakhir sebagai khalifahNya?

No comments:

Post a Comment