Monday, December 28, 2009

~kisah malam sebelum raya

Pejam celik, pejam celik je dah nak raya. Dah lama aku tak balik kampung. Rasanya dah dekat lima tahun sejak aku sambung belajar ke luar negara. Tahun ni, dapat gak aku beraya di kampung, jumpa mak abah, adik-adik dan kawan-kawan yang dah lama hilang tanpa khabar berita. Apa cerita Naim ye? Dah lama aku tak contact dia. Kalau jumpa mesti dia marah gila kataku pasal aku tak reti-reti nak hantar surat kat dia.

Dulu masa kecik main sama-sama. Bila dah belajar... lupa kawan! Raiz senyum sendirian. Terkenang zaman riang kanak-kanaknya bersama Naim.

Bas yang terhenyak-henyak dek jalan yang berlubang terasa bagai membuai sambil melayan kenangan. Mesti semua orang terkejut dengan kepulangannya. Mesti ramai awek kempung menyesal kerana mengejek dia dahulu. Maklumlah dulu Raiz 'nerd'! Selalu kena buli.

Naimlah yang selalu jadi 'bodyguard'nya. Tapi sejak belajar di luar negara, dia dah berubah. Jadi kacak dan pandai bergaya. Naim juga mesti terlopong melihat perubahan dirinya. Bas yang membawa Raiz dari pekan tadi berhenti di bahu jalan. Untuk sampai ke rumah, Raiz kena berjalan kaki hampir sepuluh minit. Ketika turun dari bas, Raiz lihat ada seseorang duduk mencangkung di bawah tiang lampu. Seakan macam dikenalinya orang itu.

Raiz menghampiri. Orang itu terkebil-kebil memandangnya sambil menggigit anak kemuncut. "Wey! Siut! Aku ingat orang darat mana tadi! Engkau rupanya! Apa kau bua tepi jalan malam-malam camni?" Razi bersuara sambil memeluk Naim yang terkekeh-kekeh ketawa. "Aku tunggu kau baliklah! Wah! Orang UK ! Balik Malaysia jadi camni kau yek.. hensem nampak?"

Naim menepuk-nepuk bahu Raiz. Kegembiraan jelas terbayang diwajahnya. "Biasa la! zaman bersedar, manusia pun kena berubah! Mana kau tau aku nak balik?" Naim tidak menjawab soalan Raiz, cuma tersengih-sengih. Raiz memerhatikan Naim dari atas hingga ke bawah.

Ada perubahan ketara pada sahabatnya. Nampak berserabut, selekeh dan kakinya sedikit tempang. "Apa kena dengan kau ni? Apasal kaki kau tu? Lagi satu aku tengok kau ni macam ada masalah je..." tegur Raiz. Naim kelihatan murung. "Aku memang ada masalah pun.

Eh! kau ni terus balik rumah ke?" Naim mengubah topik. "Cadangnya gitulah!" " Ala! singgahlah rumah aku dulu! Aku dah lama tak borak dengan kau. Banyak benda aku nak cerita. Bukan senang aku nak jumpa kau!" pujuk Naim lalu menarik tangan Raiz, dan tanpa membantah, Raiz mengikut sahaja."Tak apalah, malam ni aku temankan Naim! Pagi esok aku balik la! boleh terus siap untuk sembahyang raya!" kata Raiz dalam hati. "Eh? Kau duduk sorang je ke?

Mana mak ayah kau? Raiz kehairanan apabila mendapati suasana rumah Naim sunyi sepi. Malah rumah itu hanya diterangi cahaya pelita minyak tanah! Naim menarik nafas panjang. "Inilah nasib aku, malang betul Iz, lepas kau pergi UK dulu, macam-macam terjadi kat aku!

Mak ayah aku sakit, aku tak dapat sambung belajar sebab nak jaga diorang.Terpaksalah aku buat kerja kampung. Tapi mulut orang jahat betul, aku dituduhnya buat kerja-kerja mencuri.

Kaki aku ni, tempang dibalun dek orang kampung la!" Terkejut Raiz mendengar cerita Naim. "Setahun lepas tu mak ayah aku meninggal. Kau tau, takde sapa yang datang nak uruskan jenazah, kecuali mak abah kau dengan pak imam je!" Naim terisak-isak.

Dia mengesat airmata dengan lengan bajunya yang lusuh. Raiz tergamam. Tidak disangka-sangka nasib Naim sebegitu malang. "Lepas mereka meninggal, hidup aku jadi tak tentu arah. Aku tak ada tempat nak mengadu.

Tiap-tiap malam raya sampailah ke hari raya, aku tunggu tepi jalan, manalah tau kot-kot kau ada balik! Pasal aku tau kau sorang je boleh dengar masalah aku. Semua orang cakap aku gila. Minah-minah kilang pulak tuduh aku nak mengenen diorang.

Hishh! Aku cuma tunggu kau balik! Salah ke? Kau kawan aku dunia akhirat. Diorang apa tau? Tak peduli aku makan ke, minum ke! sakit ke! matipun diorang mesti tak ambil peduli!" Suara Naim sedikit tinggi. "Aku mintak maaf Naim, aku betul-betul tak tau hidup kau susah sampai macam tu sekali!" Raiz menyuarakan rasa bersalahnya. Naim cuma tersenyum. "Tu la kau, pergi belajar jauh-jauh tu kenapa? Dah langsung tak dengar berita. Tengok-tengok balik dah jadi camni bergaya kau ye! Eh! Minumlah! rumah aku takde apa boleh dimakan.

Ni je la!". Naim menyorong gelas berisi teh sejuk dan sepiring biskut kering. Hati Raiz sebak. Sampai begini susah hidup Naim! "Aku mintak maaf Naim, sedih sungguh aku tengok kau ni!" Suara Raiz sayu dan pilu. Naim senyum tawar. "Buat apa kau mintak maaf? Aku jadi macam ni pun bukan kau punya angkara. Dah nasib aku, nak buat camana.

Kau dah balik ni, selalu-selalu la jenguk aku kat sini ye. Esok dah nak raya, aku mintak ampun maaf dengan kau dari hujung rambut sampai hujung kaki. Halalkanlah makan minum aku selama kita berkawan. Raya ni datanglah rumah aku ye!" Mereka berbual hingga larut malam. Raiz tak sedar hingga pukul berapa. Ketika matanya terasa berat, Naim menghulurkan bantal kecil dan tilam nipis sambil tersenyum.

Terus Raiz tertidur.

"Astaghfirullah! Budak ni kat sini rupanya! Puas kita tunggu dia balik!" Satu suara kuat menyebabkan Raiz tersentak dari tidur. Terpisat-pisat Raiz bangun. "Eh? Mak!" terkejut Raiz lihat ibunya berdiri di depan bersama ayah dan ahli keluarganya yang lain.

Berpakaian cantik dan kemas. "Yang kau tidur kat sini pagi-pagi raya ni kenapa? Dah takde rumah nak balik?" jerkah ayahnya. "Eh? Kenapa pulak diorang marah ni? Raiz memerhatikan sekelilingnya. Tiada gelas berisi teh... tiada biskut kering! Hanya daun-daun kering yang bertaburan! Di tepinya terpacak batu nisan! Raiz melompat bangun. Raiz pandang sekeliling. Bukan satu sahaja batu nisan, ada dua, tiga, malah berpuluh-puluh lagi.

Raiz mengelabah."Eh? Semalam saya pergi rumah Naim, mak... ayah!" Kenapa?? Kau tengok... dekat kubur siapa kau tidur tu!" Raiz segera mengamati tulisan jawi yang tertulis pada batu nisan. Abdul Naim bin Malik. 16 September 1975 - 27 Oktober 2003! Raiz terpelangah. "Mak! Malam tadi saya jumpa Naim mak!! Kalau dia takde, sapa yang saya jumpa malam tadi?

Bulan puasa pun ada hantu ke? "Budak ni...bulan puasa mana ada hantu! Naim dah tak ada! Dia meninggal hari pertama menyambut puasa. Masa tu ribut, dia duduk dekat kubur arwah mak ayah dia. Ada pokok tumbang tertimpa dia. Esoknya baru orang jumpa dia, dah tak ada.." terang ibunya dengan suara pilu. Raiz tambah terkejut. Terfikirkan pengalaman malam tadi 'bertemu' arwah Naim di malam menjelang raya. Kalau betul bulan puasa tak ada hantu! apakah yang Raiz temui semalam?

Petunjuk apakah yang Allah ingin sampaikan padanya? Lantas dia teringatkan kata-kata arwah malam tadi. "Kau dah balik ni, selalu-selalu la jenguk aku kat sini ye. Esok dah nak raya, aku mintak ampun maaf dengan kau dari hujung rambut sampai hujung kaki. Halalkan makan minum aku selama kita berkawan.

Raya ni datang lah rumah aku ye!" Serta-merta Raiz kembali duduk di sisi pusara arwah Naim lalu menadah tangan. Kalimah-kalimah ayat suci disedekahkan kepada arwah. "Terima kasih kerana mengingatkan aku! semoga kau tenang dan aman di sana !

Moralnya: Jangan lupa kawan dan rajin-rajinlah bertanya kabar. Pastu kalau balik beraya, jangan nak melencong kat tempat lain. Terus balik rumah tau. Kang tak pasal-pasal ada yang tidur kat jirat cina nanti.

Thursday, December 24, 2009

~AlHaMdULiLlaH

AlhaMdULiLlaH..........gnap tanggal 24 disember 2009......ak brjaya mndpt ap yg ak impi-impikn slama 3 thun kblakangan iaitu 9a dlam PMR.....fuhh...x sgka btoi......rezeki kurniaan Allah........
syukran ya Rahman......tp dlam mse ak mgimpi-impikn bnde2 yg brsifat material nie....... ak mnysal krn trlupa yg prjlnnn ak msih jauh lg(klu diizinkn oleh Allah) smpi kkdg 2 ibadat sunat ak pon semata2 utk kjayaan nie............bnyk lg bnder yg perlu diikhtiarkn.....bnyk lg ujian yg prlu kte tempuhi klu diizinkn-Nya.......slaloo laa kte brdoa dgn Allah dgn doa nie...."YA RAZAK, JANGANLAH KAU BERIKAN UJIAN YANG TAK MAMPU AKU HADAPI"doa nie sgt pntg tok khidupn sharian kter.......ok.....nie jer laa nsiht org yg kurang ilmu mcm ak nie tok diri ak dn kgkawan ak khasnya fom3 dan umumnya utk semua mkhluk yg hdop sbg hamba Allah di dunia ini..........

Tuesday, December 22, 2009

~kisah rabiatul adawiyah

Rabiatul Adawiyah adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Kesabaran dan perjuangan harus dicontohi oleh wanita islam hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya di memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.

Kisah bermula pada zaman dahulu di mana kejahilan menyelebungi masyarakat arab kebanyakan sekolah agama telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama tapi terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki sampannya dia akan mendendangkan lagu yang merdu ketika mendayung sampan. Rabiatul Adawiyah sentiasa disamping ayahnya hinggalah dia dewasa, apabila ayahnya meninggal dunia. Dia menggantikan tempat ayah sebagai pendayung sampan dan mendendangkan lagu yang merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu menarik hati seorang lelaki untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja dan dia terpaksa berkhidmat untuk raja. Setiap hari dia menyanyi dan menuang arak kepada raja dan tetamu raja.

Suatu hari timbul kesedaran di hatinya merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana kejahilannya itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu Rabiatul Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan kerja yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja tidak senang melihat dia sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular tersebut menerkam pengawal raja. Rabiatul Adawiyah tetap tenang, walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu menjalankan ibadat kepada Allah. Apabila raja mengintainya di dalam bilik, kelihatan dia sedang munajat memohn doa kepada Allah. di dalam kegelapan biliknya kelihatan cahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul Adawiyah dan jangan lagi menyiksanya kemudia raja melihat Rabiatul Adawiyah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke bilik Rabiatul Adawiyah untuk melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih ada atau sudah pergi. Kelihatan Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan berdoa.

Sampai habis tempoh masa Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja. Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa saja sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumah telah roboh dan penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia meminta orang menyediakan sebuah pondok kecil untuknya. Pada suatu malam, seorang pencuri terpandang pondok Rabiatul Adawiyah lalu dia ingin pergi mencuri di situ. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang solat. Dia tidak menjumpai apa-apa di dalam rumah Rabiatul Adawiyah melainkan sebiji tempayan. Lalu dia merasa kecewa dan ingin bunuh Rabiatul Adawiyah. Apabila dia mengeluarkan pisan dan ingin menikanm Rabiatul Adawiyah tiba-tiba dia menjadi keras dan pisaunya terjatuh. Rabiatul Adawiyah terkejut. Rabiatul mengatakan pada pencuri itu ambillah apa yang dia inginkan jika dia seorang pencuri tetapi mengapa ingin membunuhnya. Lalu dia menyuruh pencuri itu mengambil wudhuk dan bersolat serta memohon pada Allah apa yang dia inginkan. Lalu pencuri itu bersolat dan meinta pada Allah agar mendapat rezeki yang banyak supaya dia tidak perlu menjadi pencuri lagi.

Pada masa yang sama diluar kelihatan kereta kuda yang membawa banyak harta yang menuju ke arah pondok Rabiatul Adawiyah. Raja menghantar orang untuk memberi Rabiatul Adawiyah harta yang banyak. Apabila orang itu datang menemui Rabiatul Adawiyah kerana ingin menyerahkan harta itu, Rabiatul Adawiyah mengatakan dia tidak pernah meminta harta dari Allah tetapi orang disebelahnya yang memohon kepada Allah jadi berikanlah harta itu kepada orang yang memintanya. Pencuri itu gembira kerana mendapat harta dan dia membuat sebuah mahligai yang indah. Pada suatu hari ada seorang lelaki menemui pencuri itu dan bertanya bagaimana dia mendapat harta yang begitu banyak dalam sekelip mata. Dia pun menceritakan kisahnya kepada lelaki itu. Lelaki itu menjelaskan kepadanya bahawa wanita yang ditenuinya itu adalah wali Allah. Dia berasa terkejut dan menyesal kerana tidak berterima kasih kepada Rabiatul Adawiyah lalu dia ke pondok rabiatul Adawiyah untuk menemuinya. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang nazak. Akhirnya Rabiatul Adawiyah pergi menemui kekasihnya.

Sunday, December 20, 2009

~pemimpin yg diredhai



PEMIMPIN satu amanah dan bukannya tempat mencari kemuliaan sebab amanah ini akan ditanya di akhirat nanti.

Realitinya hari ini pemimpin dipuji, diberi sambutan dan tepuk sorak.

Siapalah tidak ghairah pasang angan-angan menjadi pemimpin, hingga ada yang berkata: “Asyik dia orang saja dapat, bila lagi giliran aku pula.”

Islam sejak beratus tahun lampau mencipta rekod kepemimpinan di pelbagai benua dan kota, terus melakarkan beberapa pra syarat agar pemimpin betul-betul ‘menjadi’ dan orang yang dipimpin menerima nikmat kepemimpinan, bukan hanya terpimpin selamat di dunia malah juga di akhirat nanti.

Syarat pertama pemimpin ialah iman. Dalam surah al-Kahfi Allah menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu 'imun', 'aman' dan 'amin.'

Imun maknanya kebal daripada maksiat dan kebal daripada rasuah. Aman maknanya dia berasa aman bila bersama Allah, malah di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit. Manakala 'amin' pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak menerima amanah.

Syarat kedua ialah ilmu kepemimpinan. Kepemimpinan bukannya secara spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu.

Makna kepemimpinan ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi pengikut mencapai matlamat yang digarap. Jika tidak ada ilmu, sepak terajang dan kerenah kepemimpinan, nanti kita pula yang dipimpin.

Syarat ketiga ialah 'selfleadership.' Bagaimana kita boleh memimpin orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?

Perkataan 'leader' merujuk kepada tanggungjawab (al-mas'uliyah). Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Setiap kamu dalam pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawab berdasarkan apa yang kamu pimpin.”

Syarat ini menggambarkan orang yang memimpin itu mampu bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain, tidak cepat terpengaruh dengan khabar yang tidak pasti.

Jika dia melakukan kesilapan, diri sendiri menanggung risiko, bukan mengkambing hitamkan orang lain demi keselamatan diri.

Syarat keempat ialah pemimpin memerlukan 'The Power Of Communication.' Ketika berinteraksi dengan pengikut akan menghadapi pelbagai kerenah, keinginan dan tuntutan yang semestinya mampu menenangkan mereka walaupun hajat tidak tertunai, bukannya putar belit.

Cara berkomunikasi ada empat:

1) Cakap mudah difahami, bahasa terang, arahan jelas tidak berbelit-belit.

2) Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi, tidak ada tembok pemisah atau terlalu protokol. Pasangan berkahwin sebab banyak kesamaan antara mereka. Mereka nescaya bercerai jika ada banyak perbezaannya.

3) Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di hati dan tidak nampak dengan mata namun ia dapat dirasai. Jika tidak ikhlas seakan ada satu gelombang yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata tidak tajam tidak masuk di hati.

4) The power of service. Cakap hanya perlu pada tempatnya tetapi bertindak semestinya lebih banyak. Allah memberikan kita dua telinga supaya kita banyak mendengar, Allah memberikan kita dua mata supaya kita banyak melihat dan mengamatinya, kemudian bertindak berasaskan pendengaran dan pemerhatian.

Rasanya elok juga disinggung sedikit perkara yang menambah komitmen moral seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat surah al-Muddassir.

i- Bangun dan beri peringatan. Pemimpin mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara menyalahi kebenaran, dengan kuasanya dia akan meluruskannya.

ii-Mesti membasarkan Allah. Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi jangan mendahului Allah.

iii- Bersihkan pakaiannya. Pakaian luar dan dalam iaitu hati biar turut bersih.

iv- Tinggalkan dosa.

v- Janganlah memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah kalau boleh jangan ingat bahawa kita pernah memberi kepada seseorang

Saturday, December 19, 2009

~"bengkok"nya perempuan.....


“ Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah nak merajuk. Kena pujuk, nasihat
lembut–lembut, cakap baik – baik….hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi–menjadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi.”

“ Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad ? Siapa yang buat hal kali ni ?”

“Staf saya si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu.”

“ Entah – entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion.”

“ Alaaah….orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok ? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti takut patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah.”

“ Jangan cakap macam tu Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu.”

“ Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan ? Apa yang tak kena pulak, Naim?”

“ Maksud saya begini. Menafsirkan Hadis itu seolah –olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang “ disadvantaged “ atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah – olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertakwa. Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara – perkara yang tidak baik.“

Buktinya apabila Rasulullah s.a.w, datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap “ golongan yang tak berguna “ kepada “ sayap kiri “ kepada masyarakat. Baginda ada memberikan tugas – tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan.

“ Tapi memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak melayan dia.”

“ Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan sahaja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk dan cara “ protes ” tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman yang lemah, bukan sebab jantina.

“ Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan lemah lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah – marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah – entah waktu itukita lebih ‘ bengkok ‘ daripada mereka !”

“ Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje.”

“ Aku bukannya nak bela sesiapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu.”

“ Apa maksud sebenar Hadis itu.”

“ Orang perempuan yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adlaah satu “ penyempurnaan .”

Sepertimana juga usus manusia yang berlipat – lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat ‘ pelindung .’ Ia melindungi organ – organ penting didalam tubuh manusia seperti jantung, paru – paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu.”

“ Oh begitu. Jadi bila Nabi katakana yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?”

“ Begitulah. Selain itu, maksud ‘ tulang rusuk yang bengkok ‘ itu ialah sifat ‘ rahmah .’ Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat – sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak – anaknya dengan berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja – kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan.

“ Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu, jangan cubabuang sifat “ bengkok “ ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas – tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ –organ yang penting tadi tidak akan selamat.

“ Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkan betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar.”

“ Hmm, betul tu Naim.”

“ Sebenarnya tiada siapa yang ‘ bengkok ‘ mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepadaiman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat - sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan menjadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya.”

“ Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah -marah dan tidak sabar.

“ Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih ‘ bengkok ‘ daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah lebih ‘ bengkok ‘ daripada semua orang lain.

~sejenak pada teguran


Sebaik sahaja azan Zuhor tamat pada pendengaran saya, kaki cepat melangkah menuju ke tandas guru. Sekadar melihat-lihat wajah di cermin sebentar sebelum bersedia memasuki kelas seterusnya, wajah saya ditilik sejenak tanpa sedar. Seorang budak lelaki sangat comel pada penglihatan saya, tersenyum mesra. Saya kira umurnya dalam lingkungan tujuh tahun dengan masih beruniform sekolah rendah. Anak siapakah ini? Pastinya anak-anak guru-guru di sini.

“Hai”, saya cuba menyapa. Mesra. Mengiringi sengihan ikhlas adik tersebut. “Hai Teacher. Teacher buat apa?” Pertanyaan berbalas. “ Teacher dok tengok-tengok cermin ni sekejap. Awak buat apa?”. Pelik kerana wajah saya masih lagi ditilik-tilik dari sebalik pantulan cermin. “Saya nak ambil wudhuk”, dia menjawab sambil melangkah ke sinki sebelah.

“Teacher kenapa tak ambil wudhuk.. Bukan ke dah masuk Zuhor ni?”. Kami berpandangan sejenak. Saya dan dia akhirnya berbalas senyuman.

Moralnya:

Walau dalam apa keadaan sekalipun, solat itu tetap tiang agama. Andai runtuhnya tiang seri itu, maka tiadalah sempurna rumah kehidupan yang kita bina.

Alangkah bahagia punya anak kecil yang begitu soleh hasil didikan hebat ibu bapa yang soleh solehah. Bak kata seorang imam masjid setempat, inginkan anak-anak yang punya jiwa bersih suci tatkala dilahirkan, maka azan dan iqamatkanlah ia. Anak ibarat kain putih yang suci bersih tatkala keluar dari perut ibu. Yang ada ketika itu hanyalah pujukan syaitan di kiri dan lambaian malaikat di kanan. Azan dan iqamat tanda seruan agar sinar Islam itu menusuk jatuh ke qalbu. .Bagaimana harus diletakkan kesempurnaan pada azan dan iqamat itu, jikalau bapa masih lagi dengan status merempit, tidak punya kefahaman tanggungjawab sebagai suami dan ayah kepada zuriat isteri. Justeru amat penting memilih calon-calon yang sempurna sebagai bakal imam hati.

Jikalau anak yang sekecil itu mampu mentarbiah jiwanya ke arah sifat-sifat sebagai hamba Allah,..Bagaimanakah pula tugas kita orang-orang dewasa dalam menyempurnakan hari-hari terakhir sebagai khalifahNya?

Tuesday, December 15, 2009

~ kisah wali yang solat di atas air



Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang temasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah ribut petir dengan ombak yang kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan hampir tenggelam. Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha mereka sia-sia saja. Kesemua orang yang berada di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal dan diri mereka.

Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang sambil berzikir kepada Allah S.W.T. Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang terunbang-ambing dan berjalanlah dia di atas air dan mengerjakan solat di atas air.

Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!" Lelaki itu tidak memandang ke arah orang yang memanggilnya. Para peniaga itu memanggil lagi, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"

Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan berkata, "Apa hal?" Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa. Peniaga itu berkata, "Wahai wali Allah, tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?"

Wali itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada Allah."

Para penumpang itu berkata, "Apa yang mesti kami buat?"

Wali Allah itu berkata, "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat."

Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta mereka. Asalkan jiwa mereka selamat. Kemudian mereka berkata, "Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami semua selamat."

Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca Bismillah."

Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan berjalan meng hampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir. Tidak berapa lama kemudian, kapal yang mengandungi muatan beratus ribu ringgit itu pun tenggelam ke dasar laut.

Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang mahal-mahal terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu.

Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi, "Siapakah kamu wahai wali Allah?"

Wali Allah itu berkata, "Saya ialah Awais Al-Qarni."

Peniaga itu berkata lagi, "Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir."

Wali Allah berkata, "Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?"

Peniaga itu berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah."

Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada Allah S.W>T agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.

Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang.

Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju. Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagi-bahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal. Wallahu a'alam.

~aku sedar siapa aku

Aku Bukan Lah Penyair…
Jauh Sekali Seorang Pujangga…
Bait Kata KU Sekadar Biasan Hati…
Ingin Berkata Tetapi Terkunci…

Aku Seorang Manusia…
Yang Lahir Sebagai pelengkap Dunia…
Yang Kerdil Di Pandangan…
Yang Lemah Untuk Di Perbandingkan

Namun…
Lemah Ku Bukan Alasan Untuk Ku Mengalah…
Kalah Ku tidak Beerti Aku Menyerah…

Jangan Kau Ukur Kekerdilan Ku…
Jangan Kau Lihat Kelemahan Ku…
Jangan Kau Kira Kegagalan Ku…

Kekerdilan Ku Hanyalah Pada Mata…
Tapi Bukan Pada Minda…
Kelemahan Ku Hanyalah Pada Rupa…
Tapi Bukan Pada Daya…
Kegagalan Ku Hanyalah Sebagai Penyeri…
Untuk Ku Terus Memperbaiki Diri…

Aku Rela Menjadi Orang Yang Bodoh…
Terus Bersuluh…
Tidak Ku Ingin Menjadi Orang Yang Bijak…
Tapi Akhirnya Mati Terpijak

Aku Lebih rela Menjadi semut Merah…
Dari Gajah Di Rimba…
Yang Gah Mengusung Nama…
Namun Terlalu Lemah Akal nya

Biar Aku Fakir Harta…
Asal Akal ku Berharga…
Biar Tulang Ku Rapuh…
Asal Semangat Ku Kukuh

Andainya Hidup Punca Perpisahan…
Biarlah Mati yang Menyambungnya…
Namun Jika Mati Punca Perpisahan…
Biarlah Hayat Hidup ku…
Membawa seribu Makna…

Kerna…
Esok Belum Tentu Matahari Terus Mencerah…
Entah-entah Kan Padam Di Kelopak Mata

~dajjal adalah manusia



Ilmu Nahu membuktikan Dajjal adalah Manusia

Kajian masyhur Muhammad Isa Dawud di dalam buku bertajuk “Dajjal Akan Muncul Dari Kerajaan Jin di Segitiga Bermuda” telah memberikan hujah yang mematikan semua pandangan-pandangan Dajjal bukan manusia.Hujah ini adalah berdasarkan dalil pada surah Al-‘Araf (ayat 14-15), yang berbunyi;

Ayat 14: “Iblis berkata; berilah tempoh kepada ku hingga hari mereka dibangkitkan, ”

Ayat 15: Allah berfirman “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)”
(sumber: Al-Quran terjemahan Bahasa Malaysia terbitan Darul Fikir Sdn. Bhd., Kuala Lumpur)

Ayat di atas adalah permohonan Iblis kepada Allah SWT selepas dia dilaknat kerana tidak mahu tunduk sujud kepada Nabi Adam a.s. Perbuataan Iblis ini juga telah mendorong Allah untuk melemparkannya ke atas bumi dan mengubah pendirian hatinya dari seorang yang paling mulia dikalangan malaikat kepada makhluk yang paling terkutuk dikalangan makhluk-makhluk Allah.
Persoalannya, apakah bukti yang ada pada ayat di atas kerana ia langsung tidak menyebut nama Dajjal. Buktinya hanya dapat dilihat jika kita menggunakan alat bahasa Nahu dan Sorof. Pada ayat tersebut Muhammad Isa Dawud membuktikan bahawa kata Al-Munzhirun adalah jamak (plural) untuk lebih dari dua yakni untuk tiga orang dan lebih.

Apabila kalimah “al-munzharin” merujuk kepada lebih tiga orang maka di dunia ini ada lagi lebih tiga orang yang ditangguhkan kematiannya iaitu Iblis Laknatullah, Nabi Isa a.s, Dajjal Laknatullah, Nabi Khidir a.s. dan lain-lain yang menjadi rahsia Allah.
(Sesetengah pendapat mengatakan Nabi Khidir a.s. telah meninggal dunia dan yang mengajar Nabi Musa adalah rohnya)

Sekiranya pembacaan kita pada ayat-ayat berikut dalam surah Al-Araf tidak menitik beratkan hal ehwal ilmu Nahu dan Sorof maka kita hanya akan mendapati ia sekadar penceritaan tentang keengkaran Iblis terhadap Allah.

Jika seseorang itu tidak pun mahir ilmu Nahu, maka dari segi tatabahasa Bahasa Melayu sendiri pun sudah cukup jelas membuktikan bahawa ayat ke-15 merujuk lebih dari seorang yang ditangguhkan kematiannya sebelum disertakan dengan Iblis.

Perkataan “dari golongan” (minal-munzharin) bukan berdiri untuk satu orang tetapi lebih dari dua orang.Dengan terjumpanya bukti-bukti sebegini sebagai menyokong dalil bahawa Dajjal itu manusia, maka benarlah firman Allah di dalam Surah As-Shaad (ayat 29) iaitu;

“Inilah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya dapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.”

Begitu juga di dalam surah Muhammad (ayat 24), Allah berfirman;

“Maka, apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?”
Al-Quran sentiasa tepat ayat-ayatnya jadi ia bukanlah sekadar ayat-ayat penyokong fakta untuk sesuatu hujah, ianya lebih moden dan lebih futuristik dalam mengendalikan sesuatu permasalahan yang tidak dapat dijangkau oleh akal.

Apakah itu ilmu Nahu dan Sorof

Bahasa syurga ini adalah bahasa yang unik dan hanya boleh difahamkan kejelasannya dengan dua alat ilmu iaitu Nahu (grammar) dan Sorof (inflection). Kedua-duanya saling bergantungan antara satu sama lain dalam memperuntukan makna ke atas sesuatu kalimah.

Tidak semua orang mahir ilmu Nahu dan Sorof malah ilmu ini adalah antara madah (subjek) killer dalam peperiksaan sama ada di peringkat sekolah menengah, diploma hatta jika belajar di Timur Tengah sekali pun. Maka tidak hairanlah masih ramai pelajar Al-Azhar kurang mahir berbahasa Arab walaupun 10 tahun di sana.

Kehebatan Ilmu Nahu dalam pemecah rahsia akhir zaman

Ilmu Nahu dan Sorof mempunyai kelebihannya tersendiri dalam membongkar rahsia-rahsia Al-Quran dan persoalan akhir zaman.

Seorang ulama terkenal dalam bab Nahu iaitu Imam Al-Sonhaji telah menulis satu kitab yang menerangkan segala macam ilmu berkaitan nahu dari A hinggalah Z. Setelah selesai menulis kitabnya, beliau cuba menguji sama ada kitabnya itu bermanfaat atau tidak kepada umat Islam.
Sambil melemparkan kitabnya itu di dalam sungai, beliau berdoa kepada Allah jika kitabnya itu mengalir bersama air sungai maka ia tidaklah membawa manfaat tetapi jika ia (kitab) tetap bertahan tanpa mengikut arus sungai dan timbul maka ia sangat bermanfaat untuk masyarakat.
Tiba masanya ia melempar kitabnya itu di dalam sungai, maka didapatinya kitab tersebut timbul, tidak bergerak dan terus bertahan tanpa mengikut arus sungai. Amat berbesarlah hati Imam Al-Sonhaji melihat keajaiban itu maka dinamakan kitab nahu itu dengan Matan Al-Jurumiyah.

Pembelajaran Nahu masa kini

Kitab ini tidak dipelajari oleh sesiapa yang mengambil mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi (SPM), Al-Quran Sunnah (SPM), Syariah Islamiyah (SPM), Bahasa Arab Komunikasi (PMR), Usuluddin (STPM) atau Syariah (STPM). Sekiranya guru bahasa arab itu mahir dan berasal dari sekolah pondok kemungkinan barulah akan ada kelas tambahan menerangkan tentang kitab Matan Al-Jurumiyah.

Kitab ini hanya dipelajari secara konsisten oleh pelajar-pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) atau Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sekolah-sekolah pondok sahaja. Kebiasaan di sekolah-sekolah pondok tuan guru akan meminta si murid menghafal keseluruhan kitab sama ada secara berlagu atau apa-apa sahaja walaupun tidak mengetahui maksudnya.

Selepas menghafal keseluruhannya, barulah tuan guru akan menghuraikan satu persatu setiap kalimah yang dihafal untuk di i’rabkannya. Itulah kelebihan belajar di sekolah pondok, walaupun usang dari segi kemudahan tetapi ilmunya adalah pemecah rahsia akhir zaman.

Untuk mengetahui sama ada seseorang ustaz yang mengajar di masjid itu mahir ilmu nahu atau tidak adalah mudah. Biasanya guru-guru agama itu hanya akan mengajar kitab-kitab tulisan jawi seperti Pelita Penuntut, Mastika Hadith atau Tafsir Juz Amma. Ramai pendengar kuliah tidak tahu ada dua jenis tulisan di dalam kitab-kitab yang dipelajari di masjid iaitu kitab jawi dan kitab arab.

Sesetengah guru agama cuba mengelak untuk menggunakan kitab arab dan meminta sendiri kitab-kitab yang akan diajar kepada pengerusi masjid. Antara kitab yang paling popular dan mudah adalah mastika hadith, hadith 40 dan Juz Amma kerana kitab-kitab ini mudah diajar dan memberi banyak ruang untuk penceramah berceloteh.

Nahu berbeza dengan bahasa arab yang dipelajari pada Kelas Aliran Agama (KAA) yang terdapat sekolah-sekolah menengah kebangsaan. Tidak semestinya orang yang lancar bercakap arab mahir di dalam ilmu nahu. Ia seperti mana juga tidak semua orang Melayu yang bercakap Melayu mahir tatabahasa Melayu